Berita

SYAZWAN SHUHAIMI KEMBALI DENGAN ‘CINTA TAK MENGERTI’

Pelantun Lagu ‘Sang Purnama’ Hadir Dengan Single Kedua Ciptaan Komposer Terkenal Dari Seberang

Selepas hampir setahun tidak mengeluarkan single, artis lelaki bersuara lembut Syazwan Shuhaimi yang menyanyikan lagu “Sang Purnama” akhirnya kembali dengan single keduanya, “Cinta Tak Mengerti.” Lagu serba baharu ini ditulis oleh komposer terkenal dari seberang, Agie Prakasya, yang juga menulis lagu paling popular nusantara, “Belum Siap Kehilangan,” dan diterbitkan oleh syarikat hiburan paling menarik, Rocketfuel Entertainment.

“Setelah hampir setahun tidak muncul dengan lagu baharu, kini saya kembali membawa buah tangan terbaharu buat penggemar muzik tempatan. Mungkin ramai tertanya ke mana saya pergi, saya masih lagi aktif menyanyi dengan memenuhi jemputan program yang diatur oleh pihak pengurusan dan masih mempromosikan lagu Sang Purnama kerana penerimaannya yang positif.

“Secara jujurnya saya tidak mahu tergesa-gesa untuk mengeluarkan lagu baharu kerana bukan mudah untuk mencari material lagu yang sesuai dengan jiwa saya memandangkan saya masih belum menulis lagu sendiri,” kata Syazwan.

Atas cadangan Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, yang memilih arah muzik untuk Syazwan, dan Pak Azad, abang iparnya sendiri, lagu Cinta Tak Mengerti tercipta.

“Ketika itu, Pak Azad ada menghantar DM (direct message) kepada Agie Prakasya, pencipta lagu Belum Siap Kehilangan yang tular ketika itu, dan dalam banyak-banyak demo yang diberikan, hanya satu lagu yang melekat di ingatan saya iaitu Cinta Tak Mengerti.

“Lagu ini adalah adaptasi dari kisah peribadi penulis lagu sendiri yang menceritakan tentang cintanya yang tidak kesampaian, dia menaruh harapan yang tinggi terhadap seorang wanita tetapi wanita tersebut hanya menganggapnya sebagai sahabat baik sahaja sehingga di-friendzone,” tambah Syazwan lagi.

Menarik untuk diperhatikan bahawa sesi rakaman single ini yang berlangsung kira-kira dua jam di studio rakaman Astro dijalankan secara dalam talian tanpa sebarang pertengkaran fizikal antara vokalis dan penerbit, jelas Syazwan, “Setelah menerima demo lagu ini, Agie dan Aldi Nada Permana, kami terlebih dahulu mengadakan sesi bengkel secara online sebanyak 3 kali bagi mengenali latar belakang lagu, mengadakan latihan vokal serta cara mendalami maksud lagu ini. Ini juga merupakan pengalaman pertama bagi saya sebelum proses rakaman dilakukan.

“Bayangkanlah sesi rakaman juga turut berlaku secara online, walaupun agak sukar pada mulanya dengan penggunaan bahasa yang agak berbeza, lama-kelamaan proses tersebut beransur baik.

Di usia menjengah 36 tahun, Syazwan mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu, katanya, “Setiap penyanyi seperti saya inginkan variasi dalam repertoir, jadi sebab itu saya ingin pelbagaikan mood dan tempo dalam katalog lagu-lagu saya.

“Muzik yang saya bawakan mencerminkan keperibadian saya, tidak terlalu ringan dan tidak juga terlalu berat untuk diterima ramai. Ia perlu kedengaran ‘matang’ sesuai dengan usia saya sekarang, jadi saya juga cuba untuk mengetengahkan lagu-lagu yang mempunyai lirik yang puitis dan boleh diterima ramai pendengar.

Bersama single itu, muzik video (MV) Cinta Tak Mengerti juga mempunyai plot yang menarik. Seperti lagu itu, lirik MV itu menggambarkan kisah cinta yang tidak kesampaian dengan premis yang agak melodramatik.

“Saya sangat takjub bagaimana muzik mampu menghubungkan manusia, walau saling tidak mengenali, kita boleh berbicara melalui lagu dan melayani perasaan menerusi lagu-lagu yang kita nyanyikan.

“Namun begitu, bukan mudah untuk kekal relevan dan membuat orang sedar akan kehadiran kita, dengan kepantasan teknologi digital dan pelbagai platform di sosial media, seseorang artis itu mudah tenggelam dengan pelbagai konten lain yang mempunyai sifat tular yang sangat tinggi,” luah Syazwan.

Encik Erick Yew selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Syazwan adalah seorang penyanyi yang sangat berdedikasi dalam setiap penghasilan yang diusahakannya. Dia tidak kisah mengambil masa yang lama untuk menyempurnakan sesebuah karya kerana apa yang penting adalah mutu dan kualiti dalam setiap lagu yang dihasilkannya.

“Dengan sentuhan tenaga pakar dari seberang, saya percaya lagu ini dapat diterima oleh pendengar tempatan dan mungkin menjadi siulan tidak lama lagi.

Akhiri Syazwan: “Harapan saya supaya lagu ini dapat didengari oleh sejauh dan seramai pendengar yang boleh, semoga lagu ini juga berada dekat di hati ramai pendengar sekaligus dapat memperkenalkan siapa Syazwan Shuhaimi yang sebenarnya.

Lagu “Cinta Tak Mengerti” boleh dimuat turun dari iTunes dan boleh digunakan sebagai nada dering oleh semua penyedia telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh didengari pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman dalam talian popular termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala video muzik rasmi untuk single ini hanya tersedia di akaun YouTube Rocketfuel Network.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button