Berita

STATISTIK TENAGA BURUH, MALAYSIA, APRIL 2022  

Kadar pengangguran April merosot kepada 3.9 peratus, di bawah 4.0 peratus buat kali pertama sejak wabak COVID-19. Aktiviti ekonomi terus berkembang apabila Malaysia membuka semula sempadan antarabangsa pada awal bulan. Keadaan tenaga buruh pada April 2022 bertambah kukuh dengan lonjakan sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.50 juta orang (Mac 2022: 16.44 juta orang).

Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Orang yang bekerja kekal pada trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.5 peratus kepada merekodkan 15.85 juta orang pada April 2022 (Mac 2022: 15.77 juta orang). Kadar pengangguran merosot ke bawah 4.0 peratus buat kali pertama untuk merekodkan 3.9 peratus selepas dua tahun penularan wabak COVID-19 di negara ini. Peningkatan itu sebahagiannya disebabkan oleh lebih banyak aktiviti perniagaan sempena sambutan Ramadan dan persiapan Aidilfitri pada bulan tersebut selari dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Bilangan penganggur di Malaysia jatuh sebanyak 1.2 peratus kepada 542.9 ribu orang (Mac 2022: 561.0 ribu orang). Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurangan sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 12.8 peratus. Komposisi terbesar tenaga buruh luar ialah kerja rumah/keluarga dengan 42.0 peratus dan diikuti dengan kategori persekolahan/latihan (40.6 peratus). Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir berkata, “Kebanyakan penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang sedia bekerja dan sedang mencari pekerjaan secara aktif”.\

Ketua Perangkaan Malaysia itu berkata, prospek ekonomi yang lebih positif diperhatikan ketika negara memasuki fasa peralihan kepada endemik. Peningkatan dalam permohonan majikan untuk pekerjaan bukan warganegara berikutan pembukaan sempadan antarabangsa negara dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan buruh. Keadaan itu dilihat membuka lebih banyak peluang pekerjaan memandangkan aktiviti perniagaan memerlukan lebih ramai pekerja untuk menampung permintaan yang semakin meningkat untuk barangan dan perkhidmatan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button