Berita

SOROTAN STATISTIK EKONOMI MALAYSIA SIRI 6/2022

Pemulihan ekonomi kekal meyakinkan dengan trend yang lebih baik ditunjukkan oleh prestasi makroekonomi Malaysia pada April 2022 di sebalik ketidaktentuan global

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 6/2022. Penerbitan ini bermatlamat untuk menghebahkan kepada orang awam mengenai senario ekonomi terkini berdasarkan statistik makroekonomi rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Laporan ini memfokuskan kepada statistik yang dikeluarkan bagi bulan April 2022 dan beberapa statistik akan datang bagi bulan Mei 2022. Di samping itu, artikel khas bertajuk “Kesan Faktor Makroekonomi Terhadap Stok Pasaran: Kajian Empirikal dari Malaysia” turut dipaparkan.

Mengulas senario sosioekonomi semasa, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Lebih daripada dua tahun selepas krisis kesihatan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah mengubah landskap sosioekonomi dunia secara ketara, negara seterusnya melaksanakan proses pemulihan melalui strategi peralihan keluar yang lebih meluas bagi meningkatkan kemajuan ekonomi dan kesihatan awam. Walaupun orang awam telah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan fasa endemik, ancaman baharu pula muncul dalam bentuk gangguan mantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik yang berterusan antara Russia dan Ukraine; keadaan cuaca yang tidak menentu; dan permintaan yang meningkat berikutan pelonggaran sekatan berkaitan kesihatan di kebanyakan negara.”

Pada April 2022, inflasi negara meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada 125.9 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan tersebut melebihi purata inflasi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga April 2022 (1.9%). Kenaikan inflasi ini terutamanya didorong oleh peningkatan dalam Makanan & Minuman Bukan Alkohol (4.1%), Restoran & Hotel (3.2%) dan Pengangkutan (3.0%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Indeks Harga Pengeluar Malaysia kekal tumbuh dua digit pada kadar 11.0 peratus tahun ke tahun pada April 2022 berbanding 11.6 peratus pada Mac 2022. Pertumbuhan tersebut disokong oleh kenaikan indeks Perlombongan (18.4%), Pertanian, perhutanan & perikanan (18.0%) dan Pembuatan (9.8%). Sementara itu, inflasi negara pada Mei 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berasaskan tahun ke tahun dengan inflasi makanan terus meningkat kepada kadar tertinggi 5.2 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022 dan Survei Ekonomi Tahunan 2022 (AES 2022) bermula 15 April sehingga 30 September 2022. DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut. DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh dari portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/PocketStatsS1_2022.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button