Berita

Search Rocking On Rooftop

Kumpulan rock legenda terkenal pada era 80 dan 90 an iaitu Search yang dianggotai Noordin (Gitar), Kid (Gitar), Yan (Bass), Minn (Dram) dan penyanyi baharu mereka dari seberang yang dikenali sebagai Denden Gonjalez akhirnya bersatu buat julung-julung kalinya dalam Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 Jun 2022 jam 9 malam.

Umum mengetahui, lokasi atas bumbung bukanlah suatu perkara asing dalam penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini namun Search mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri terutamanya dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 buah lagu.  Apa yang menariknya ia adalah lagu yang jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini.  Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu.  Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dahulu, peminat sudah hafal.  Kali ini kami nak kelainan dan nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia.  Antaranya adalah lagu-lagu dari album, keenam iaitu Rampage yang diterbitkan pada tahun 1992”. ujar Noordin selaku gitaris.

Tambah Noordin “Pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada ‘backdrop’ sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.  Itulah ‘backdrop’ pentas kami yang pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual”.

Tidak ketinggalan, kehadiran Denden, Yan dan Min bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search termasuklah jurutera bunyi, pasukan produksi dan teknikal yang terbaik demi memastikan Search tampil dengan bunyi berkualiti.

Konsert Search Rocking On Rooftop turut menampilkan Ratu Rock Negara iaitu Ella sebagai penyanyi undangan yang akan berduet dengan Denden yang menjadi daya tarikan utama penonton.

Tiket-tiket konsert berharga RM 88, RM 198 dan RM 298 namun tiket RM 88 sudah habis dijual.  Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian laman web www.fenomenasearch.com.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button