Berita

PRECESSION CAPITAL BERHAD (PCB) KEKAL TEGUH DENGAN MISI UNTUK MEMACU DAN MEMPERKASA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS)

Precession Capital Berhad (PCB), sebuah firma latihan strategi kewangan dan pengurusan pelaburan, kekal komited terhadap misi mereka untuk memacu dan memperkasakan PKS negara. PCB telah mengekalkan tumpuan untuk memberikan pulangan yang luar biasa dan jangka panjang untuk kedua-dua pelabur dan syarikat sejak penubuhannya pada 2016 melalui pemikiran inovatif, penyelidikan menyeluruh, pelaksanaan yang unik dan tersendiri, integriti dan akauntabiliti.

Menurut Nash Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif PCB, “PKS memainkan peranan yang besar dalam memacu pasaran ekonomi, terutama sekali dalam negara-negara yang sedang membangun. PKS mempunyai pegangan besar dalam pasaran perniagaan global dan merupakan antara penyumbang penting kepada peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi dunia. PKS mewakili 90% perniagaan dan lebih daripada 50% ruang pekerjaan di seluruh dunia. Di Malaysia, PKS menyumbang sekitar 38% atau lebih daripada RM500 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dengan kewujudan 1.15 juta perniagaan PKS di seluruh negara, mereka membentuk 97.2% daripada jumlah keseluruhan perniagaan di Malaysia dan membuka ruang pekerjaan kepada hampir 70% tenaga kerja di negara ini.”

Beliau menambah selanjutnya, “Oleh itu, seperti negara-negara membangun yang lain, PKS Malaysia berdepan dengan empat kekangan pertumbuhan utama, iaitu akses terhad kepada sumber-sumber kewangan, kesukaran untuk mengembangkan pasaran mereka, kegagalan untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat yang baik, dan ketidakmampuan untuk bergerak selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Menerusi cabaran-cabaran ini, PCB tampil untuk membantu PKS merealisasikan misi mereka untuk menjadi sebuah perniagaan yang berjaya, berdaya tahan dan berkeuntungan menerusi penawaran perkhidmatan mereka yang pelbagai.”

PCB telah menyumbang dengan ketara kepada kejayaan kebanyakan syarikat permulaan merentasi pelbagai industri sejak penubuhannya sebagai syarikat pelaburan portfolio yang mendidik, memupuk dan melabur dalam perniagaan berpotensi tinggi sepanjang lima tahun lepas. Sehingga kini, syarikat itu telah berjaya membimbing dan memupuk lebih 400 PKS dengan bantuan tenaga kerja PCB yang berkelayakan dan berwibawa. PCB baru-baru ini melancarkan semula dan mengembangkan program Advance Business Course (ABC), yang merupakan satu siri kursus perniagaan unik yang ditujukan kepada pengasas PKS dan pemilik perniagaan yang ingin mengambil perniagaan mereka daripada “boleh dilaksanakan” kepada “boleh dilaburkan.” PCB telah mengembangkan ABC dengan menyediakan program yang memfokuskan pada pelbagai asas perniagaan, serta strategi perniagaan dan pelaburan.

Nash Idrus,Ketua Pegawai Eksekutif PCB.

Program ini termasuk tiga bulan bimbingan intensif serta pengalaman langsung. Usahawan yang tidak mempunyai atau kurang pengetahuan untuk mengembangkan perniagaan dan modal mereka akan memperoleh kemahiran untuk membina model perniagaan yang unik serta pengetahuan lain seperti Kewangan Korporat, Perbankan Pelaburan, Tadbir Urus Korporat, Pematuhan, Aliran Tunai Bebas, Penilaian, Penciptaan Kekayaan, dan Kebebasan Kewangan dan Masa melalui program ini.

“Di PCB, fokus kami adalah untuk menambah baik akses PKS kepada program-program pertumbuhan perniagaan dan menawarkan solusi-solusi inovatif secara berterusan. Kekurangan inovasi dalam kalangan PKS bukan sahaja menghalang pertumbuhan mereka, bahkan ia juga mengurangkan nilai keuntungan jangka panjang, dan seterusnya mengakibatkan kekurangan daya saing. Antara punca kegagalan untuk berinovasi adalah kos R&D yang tinggi, kekurangan dana, kurang keinginan untuk melabur dalam peningkatan kemahiran, latihan, dan pembangunan sumber manusia, kurang ilmu pengetahuan, dan lain-lain lagi. Perniagaan yang kurang daya kreativiti dan inovasi lazimnya tidak mampu untuk bersaing dalam pasaran akibat kekurangan nilai tambah yang mampu memberikan persaingan. Menjadi hasrat kami untuk memainkan peranan penting dalam menyahut seruan kerajaan untuk mendokong PKS selaras dalam misi kami untuk terus mengangkat perniagaan-perniagaan berkenaan ke sebuah tahap yang mampu menarik perhatian para pelabur,” ujar Shah Mohamad, Ketua Hubungan Pelabur PCB.

Bank Dunia, dalam laporannya Malaysia – Penilaian Kajian Ekosistem Pembiayaan Permulaan dan Kajian Kecekapan Program PKS, yang diterbitkan pada Februari 2022, membuat beberapa cadangan dan memberi input kepada Malaysia dalam usahanya untuk mengubah landskap mikro PKS sebagai kuasa baharu untuk pertumbuhan negara. “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) telah mengumumkan misi mereka tahun lalu untuk membina ekosistem syarikat pemula yang kondusif menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) 2021-2023 dan Program MyStartup. Menerusi program ini, Malaysia mensasarkan lima syarakat bertarafkan ‘unicorn’ dan 5,000 syarikat pemula menjelang akhir tahun 2025. PCB percaya bahawa kewujudan pembiayaan kewangan di peringkat awal akan menjadi alat yang amat efektif bagi menggalakkan penubuhan firma-firma inovatif tersebut. Walau bagaimanapun, pembiayaan kewangan hanya akan mengambil tempat seiring dengan peningkatan keyakinan dalam pulangan hasil perniagaan yang positif. PCB komited untuk memastikan aksesibiliti ilmu dunia perniagaan dan peluang- peluang pelaburan menjadi lebih kukuh”, tegas Nash lagi.

Sila layari www.precessioncapital.com jika anda ingin memacu perniagaan anda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button