Berita

PENGUATKUASAAN KPDNHEP KE ATAS AKTIVITI PENJUALAN JERSI TIRUAN SEMPENA KEJOHANAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA FIFA 2022

 

PUTRAJAYA, 15 November 2022 – Sehubungan dengan pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022, yang berlangsung dari 20 November 2022, hingga 18 Disember 2022, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang memerhatikan penjualan jersi palsu di seluruh negara.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pakaian tiruan yang dilakukan di seluruh Negara sejak lima (5) tahun kebelakangan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Oktober 2022, sebanyak 526 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 11.6 juta. Tindakan penguatkuasaan melibatkan pelbagai jenis barangan lain juga dijalankan antaranya melibatkan makanan/minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya.

KPDNHEP sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar (brand owner) bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuklah aktiviti penjualan barang tiruan yang dilakukan secara dalam talian (online).

Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun bagi perseorangan. Manakala bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan.

KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah dengan tidak menjual jersi tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas di bawah peruntukan undang-undang ini. Selain tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan jika disabitkan kesalahan.

 

Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian termasuklah secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri.

Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berhubung penjualan barangan tiruan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button