Berita

PENEMUAN UTAMA BANCI MALAYSIA 2020 DAN KDNK NEGERI KEDAH 2021

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menganjurkan Siri Jelajah Parlimen dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2021, Negeri Kedah bermula 17 hingga 18 Julai 2022. Program ini diadakan adalah untuk berkongsi hasil dapatan Banci Malaysia 2020 dan prestasi ekonomi 2021 bagi Negeri Kedah.

Pada 17 Julai 2022, telah diadakan Sesi Pembentangan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan KDNK 2021, Negeri Kedah Kepada Penjawat Awam Negeri Kedah yang telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah mewakili Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah bertempat di Dewan Besar, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Bandar Darulaman, Jitra, Kedah manakala pembentangan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci 2020. Sesi Pembentangan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan KDNK 2021, Negeri Kedah ini juga turut disampaikan kepada Ahli Parlimen dan DUN Negeri Kedah pada 18 Julai 2022 bertempat di Bilik Gerakan SUK, Wisma Darul Aman.

Ekonomi Malaysia memperoleh semula momentum pada tahun 2021 dengan nilai ditambah sebanyak RM1.4 trillion, iaitu pertumbuhan 3.1 peratus berbanding negatif 5.5 peratus (2020). Pertumbuhan ini dipacu oleh Sektor Perkhidmatan iaitu bertumbuh 1.9 peratus (2020: -5.4%) dengan sumbangan Perkhidmatan kepada KDNK iaitu 57.0 peratus. Sektor Pembuatan bertumbuh 9.5 peratus (2020: -2.7%) dengan sumbangan Pembuatan kepada KDNK iaitu 24.3 peratus. Kedua-dua sektor ini telah menyumbang sebanyak 81.3% kepada ekonomi Malaysia.

Kedah merupakan antara lima negeri yang mencatatkan pertumbuhan melebihi paras nasional iaitu dengan 3.2 peratus selain daripada Perak (3.5%), Terengganu (3.6%), Selangor (5.0%) dan Pulau Pinang (6.8%). Struktur ekonomi utama Kedah disumbangkan oleh sektor Perkhidmatan 54.5 peratus, diikuti sektor Pembuatan 30.5 peratus dan sektor Pertanian 11.9 peratus. KDNK per kapita negeri Kedah pada 2021 meningkat kepada RM23,119 daripada RM22,162 pada 2020.

Komposisi penduduk umur muda (0-14 tahun) di Kedah pada 2020 mencatatkan 25.3 peratus, umur bekerja (15-64 tahun) 66.8 peratus serta umur tua (65 tahun dan lebih) sebanyak 7.9 peratus. Peratusan penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) negeri Kedah meningkat berbanding hanya 6.2 peratus pada 2010. Berdasarkan takrifan United Nation, terdapat tiga kategori penuaan iaitu ageing society, aged society dan super-aged society di mana masing-masing merujuk kepada penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah 7 peratus, 14 peratus dan 20 peratus. YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa negeri Kedah telah mencapai negeri menua dengan penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencecah 7.9 peratus pada 2020. Berdasarkan penemuan utama banci 2020, Kedah telah mencapai negeri menua dengan semua daerah pentadbiran kecuali Langkawi telah mencapai 7.0 peratus komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih. Komposisi penduduk umur tua yang tertinggi dicatatkan di daerah Kota Setar (8.5%) dan Kuala Muda (8.2%).

DOSM juga menerbitkan statistik ekonomi dan sosial iaitu PocketStats yang mengandungi
statistik suku tahunan dan tahunan yang boleh diperoleh daripada portal DOSM atau melalui pautan https://bit.ly/pocketstatsS1_2022.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button