Berita

MENUTUP TIRAI 2022 DENGAN FILEM-FILEM HEBAT HANYA DI TV3 CINEMA

Petaling Jaya, 23 November 2022 – Untuk menutup tirai pada tahun 2022, TV3 Cinema akan menawarkan filem-filem hebat di seluruh dunia, terutamanya untuk peminat TV3 yang berdedikasi! Setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam, filem seram aksi dan komedi sedunia ini akan menyambut anda.

Jangan lupa untuk saksikan filem-filem hebat yang dilakonkan oleh barisan pelakon antarabangsa seperti Dwayne Johnson, Vin Diesel, Jason Statham, Salman Khan, Sonakshi Sinha, Raymond Wong, Fennie Yuen dan ramai lagi.

Filem bersiri dari Hong Kong ini diteruskan lagi dengan Happy Ghost II pada 25 November 2022. Filem seram komedi ini mengisahkan kelahiran semula Cendekiawan Stewart Pik yang kini menjadi guru bernama Hong Sam Kwai di sebuah sekolah menengah perempuan. Dia ditugaskan untuk mengajar kelas yang penuh dengan pelajar nakal dan sebagai guru, dia sering dibuli oleh pelajarnya. Cikgu Hong mendapat bantuan Uncle Tang yang tahu bagaimana cara untuk mengelakkan gurauan daripada pelajarnya. Berjayakah Cikgu Hong mengelak daripada dibuli oleh pelajarnya?

Siri The Happy Ghost kembali dengan siri yang ketiga iaitu Happy Ghost III dan bakal ditayangkan pada 2 Disember 2022. Mengisahkan tentang seorang penyanyi muda, Tsui Pan Han yang ingin dilahirkan semula di dalam keluarga berlatar belakang muzik. Pan Han perlu sampai ke hospital sebelum bakal ibunya itu bersalin. Malangnya, dia tidak sempat sampai ke hospital pada waktu yang tepat kerana campur tangan daripada Hong. Pan Han sememangnya sangat marah pada Hong kerana campur tangan itu telah menyusahkan dirinya. Lama-kelamaan kemarahannya bertukar menjadi cinta. Dapatkah cinta mereka kekal kerana Pan Han perlu meninggalkan alam manusia untuk peluang dilahirkan semula? 

Happy Ghost IV akan menemani malam minggu anda pada 9 Disember 2022. Hong Sam Kwai kali ini menjadi seorang profesor menerusi siri keempat ini. Bermula dengan sekumpulan remaja yang menemui entiti di gua lama dan mereka memutuskan untuk membawa entiti tersebut pulang ke asrama. Tanpa disedari, entiti tersebut telah bangkit dan ternyata dia adalah seorang panglima perang zalim yang ingin membalas dendam kepada seorang wanita. Wanita yang dicari itu adalah Annie dan dia merupakan teman wanita kepada Hong Sam Kwai. Sejak kehadiran panglima perang itu, nyawa Hong dan Annie mula diancam. Demi cinta, Hong nekad untuk menyelamatkan Annie dengan mengalahkan panglima perang itu!

Siri terakhir filem komedi seram Hong Kong ini diteruskan lagi dengan Happy Ghost V yang akan disiarkan pada 16 Disember 2022. Filem ini mengisahkan tentang Magic seekor anjing, lakonan Raymond Wong. Magic merupakan seekor anjing yang dimiliki oleh Kathy. Jack, teman lelaki Kathy telah menjaga Magic sementara Kathy ke Amerika selama seminggu. Magic tidak dijaga dengan elok oleh Jack sehingga Magic telah merayau ke kuil. Magic bertemu dengan Happy Ghost dan membuat perjanjian untuk menjadi manusia selama 44 hari. Magic bertemu dengan Kathy dan mula jatuh hati terhadap tuannya sendiri. Magic tidak dapat berterus-terang kepada Kathy siapa dirinya sebenar! 

Filem aksi Bollywood, Dabangg akan ditayangkan pada 23 Disember 2022. Filem ini diarahkan oleh Abhinav Kashyap, dan dihasilkan oleh Arbaaz Khan melalui Arbaaz Khan Productions. Chulbul Pandey (Salman Khan) merupakan seorang inspektor polis dan tinggal bersama ibunya Naina Devi (Dimple Kapadia), bapa tirinya Prajapati Pandey (Vinod Kanna) dan adik tirinya Makhancan Pandey (Arbaaz Khan). Hubungan Chulbul dan bapa tirinya tidak baik. Chedi Singh (Sonu Sood) merupakan seorang ahli politik yang korup. Chedi ingin Chulbul bekerja dengannya untuk sama-sama melakukan aktiviti jenayah namun ditolak oleh Chulbul. Chulbul mengahwini Rajoo setelah kematian ayahnya yang kaki mabuk. Pasangan tersebut berbulan madu di Dubai. Setelah pulang ke India, Chulbul terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah yang telah dilakukan oleh Chedi dan adik tirinya Makhancan. Chedi seorang penjenayah bertopengkan politik telah berjaya memerangkap Chulbul untuk bertanggungjawab ke atas segala jenayah yang dilakukan oleh Chedi sendiri. Berjayakah Chulbul membersihkan namanya?

Bagi penutup tahun ini, TV3 Cinema akan menyiarkan filem sempena Istimewa Tahun Baharu yang berjudul Furious 7 pada 30 December 2022. Selepas mengalahkan pengganas yang menggerunkan Owen Shaw, Dominic Toretto (Vin Diesel), Brian O’Conner (Paul Walker) dan seluruh kru telah berpisah untuk kembali ke kehidupan mereka yang normal. Bagaimanapun, Deckard Shaw (Jason Statham), abang kepada Owen, merupakan seorang pembunuh pasukan khas yang mahu membalas dendam ke atas adiknya yang koma, sekali lagi meletakkan seluruh kru dalam keadaan yang bahaya. Ejen kerajaan menawarkan pertolongan kepada Dom untuk menghalang Deckard Shaw jika Dom bersetuju untuk menculik penggodam komputer yang telah menghasilkan program pengawasan berkuasa tinggi yang membahayakan seluruh dunia.

Jangan lupa temu janji anda bersama TV3 Cinema pada setiap Jumaat, pada pukul 10.00 malam. Anda juga boleh strim secara langsung di www.tonton.com.my dan jangan lupa untuk ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button