Berita

MEMPERKUKUH PENGUATKUASAAN SEMPADAN NEGARA DI SEMPADAN SERIKIN, SARAWAK DENGAN JARINGAN KERJASAMA ANTARA AGENSI PENGUATKUASAAN BAGI MEMBANTERAS KETIRISAN BARANG KAWALAN/BERSUBSIDI

SERIKIN, 23 Oktober 2022 – Pos Kawalan Sempadan Serikin yang terletak di Bau, Sarawak telah mengalu-alukan kedatangan YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk lawatan kerja. Pengurusan tertinggi Kementerian turut hadir dalam lawatan ini.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau situasi semasa sempadan Malaysia – Indonesia di Serikin, Bau, Sarawak susulan pembukaan semula Pos Kawalan Sempadan Serikin bagi merancakkan kembali aktiviti perdagangan antara kedua – dua Negara, Malaysia – Indonesia selaras dengan pembukaan semula Pasar Serikin.

Selain itu, tujuan lawatan ini juga antara lain adalah bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak KPDNHEP dengan lain-lain agensi penguatkuasaan yang mengawal sempadan di kawasan ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak (MKN).

Dalam lawatan ini, antara isu yang diberi tumpuan adalah berkaitan mekanisme untuk membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan/bersubsidi melalui sempadan Serikin, Malaysia ke Indonesia seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, petrol, diesel, gula dan tepung gandum dengan lebih berkesan.

Isu penyeludupan barang kawalan/bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian Kementerian. Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNHEP pada tahun 2022 bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 September 2022 sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan/bersubsidi di pintu-pintu sempadan Negara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya dipatahkan di seluruh Negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 69.74 juta.

KPDNHEP memandang serius isu ketirisan barang kawalan/bersubsidi yang berlaku kerana ianya boleh mengakibatkan kerugian yang besar kepada Negara selain barang kawalan/bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke Negara jiran demi mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan aktiviti haram ini.

Kementerian akan terus mengadakan jaringan serta memperkukuhkan kerjasama dengan lain-lain agensi penguatkuasaan bagi mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di sempadan Negara bagi mengatasi isu penyeludupan barangan kawalan/bersubsidi daripada terus berleluasa menerusi operasi bersepadu serta tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.

Kementerian memberikan peringatan kepada mana-mana pihak agar lebih bertanggungjawab apabila berurusan dengan barangan kawalan/bersubsidi bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.

Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang cuba untuk melakukan penyeludupan ke atas barangan kawalan/bersubsidi termasuk dihadapkan ke Mahkamah di mana jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Orang ramai disaran untuk bersama-sama membantu Kerajaan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berhubung isu penyelewengan barangan kawalan/bersubsidi kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button