Berita

MEER NASH LANCAR ‘KAJIMA’, TUJU BUAT BEKAS KEKASIH

Penyanyi Meer Nash berjaya menunjukkan bahawa kehadirannya dalam industri muzik tanah air memberi manfaat dengan meraih gelaran Melayu Oppa dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) 2020.

Apatah lagi selepas dia turut berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu berjudul ‘Saranghae’ berkonsep K-pop yang dilancarkan tahun lalu.

Melihatkan sambutan yang baik terhadap lagu dan buah tangan pertamanya itu, Meer Nash, 27, atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul kembali dengan single berjudul KAJIMA hasil ciptaannya bersama Brendan Lim Seng Meng, Seow Seng Tack, Wee Zhen Yong dan ASYRAF NASIR.

Lagu yang menampilkan MFMF selaku penerbit dan ‘arranger’ itu akan dilancarkan secara rasmi pada 9 September dan diterbitkan oleh Universal Music Malaysia.

Meer Nash berkata, lagu KAJIMA itu ditujukan kepada bekas kekasihnya yang membuatkan dirinya susah nak ‘move on’ selama dua tahun.

“Ini lagu ‘paling gelap’ yang saya tulis dan rakamkan setakat ini. Dengan sedikit elemen daripada filem seram KKN, rap dan puisi kanak kanak. Turut diketengahkan juga dengan tarian Korea tarian bagai melepaskan kemarahan.

“Lagu ini sebenarnya ditujukan kepada bekas kekasih yang membuatkan saya susah nak ‘move on’ selama dua tahun. Apabila lagu ni siap ditulis, ia bermaksud saya sudah berjaya ‘move on’. Bahagian awal lagu ini, saya berasa marah dan hilang akal terhadap apa yang saya dah lalui sepanjang hubungan ‘tarik tali’ yang toksik, tapi hingga akhir lagu ini saya berjaya keluar daripada lorong gelap dan mencari diri sendiri,” katanya.

Berkongsi lanjut, Meer Nash berkata, idea menghasilkan lagu KAJIMA muncul ketika dia tidur petang.

“Pada ketika itu, mungkin saya masih lagi mencari jalan untuk ‘move on’ sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Idea ini dibawa kepada MFMF dan kami menyiapkan lagu ini dalam masa beberapa jam saja.

“Selepas itu, proses rakaman lagu pula mengambil masa selama empat jam dan diakui ini juga lagu yang paling susah untuk dirakam kerana ia genre yang baru untuk saya,” katanya.

Sekali lagi bekerjasama dengan MFMF selepas lagu Kembali pada Mac lalu, Meer Nash berkata mereka termasuk yang terbabit dalam penghasilan lagu ini saling membantu untuk memberikan hasil terbaik.

“MFMF mempunyai idea yang sangat segar untuk menambah baik pada idea asal saya. Tambahan pula, Asyraf Nasir membantu dalam proses penulisan bahagian rap.

“Bagi penghasilan video muzik, untuk kali pertama juga saya berkerjasama dengan WP Production dan saya kagum dengan alat yang mereka miliki seperti kren dalam industri muzik Korea. Semua orang sangat efisyen dan pengurusan masa yang baik sekaligus membuatkan proses rakaman sangat lancar,” katanya.

Bercerita mengenai video muzik (MV) yang bakal dilancarkan pada 9 September depan, Meer Nash berkata dia memainkan beberapa watak.

“Saya muncul dalam beberapa watak yang memerlukan saya menukar lima pasang persalinan baju dan mengambil masa selama 18 jam. Selain itu, saya mengalami kecederan semasa pengambaran tetapi tetap diteruskan.

“Produksi mempunyai set yang berbeza dan ‘mood’ yang berbeza. Bahagian yang paling saya suka dalam MV ini adalah menjadi bomoh kerana saya dapat memainkan watak sebagai seorang mangsa yang dikawal oleh bomoh iaitu kekasih saya,” katanya.

Dalam masa sama, Meer Nash mengakui berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu KAJIMA dan ketika penggambaran MV dilakukan.

“Saya berada dalam situasi ketika saya tidak dapat dan tidak tahu bagaimana untuk menghabiskan lagu ini. Itulah sebabnya saya menghubungi MFMF kerana saya sentiasa menjadi peminat muzik mereka.

“Cabaran sewaktu buat MV pula, masa ‘fitting’ baju kami tak cuba bersama penari, tapi bila penggambaran bermula ada banyak berlakunya ‘wardrobe malfunction’ dan jurugaya kena jahit ketika itu juga seperti aksesori yang tercabut dan baju yang ketat sehingga memberi had kepada saya untuk melakukan setengah pergerakan,” katanya.

Bagi Meer Nash, apa pun cabaran ditempuh dia berharap lagu ini dapat dijadikan sebagai kekuatan kepada sesiapa sahaja yang berada di situasi seperti dirinya.

“Saya harap dengan adanya lagu ini pendengar boleh belajar yang kita tidak seharusnya mengetepikan apa sahaja perasaan kerana ‘your feeling is valid’. ‘Move on’ yang sebenarnya adalah dengan menghadapi segala kemarahan dan kesedihan. Memang susah, tapi ia adalah apa adanya dan itulah tiket anda untuk anda untuk ‘move on’,” katanya.

Single KAJIMA boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 9 September jam 12 tengah malam manakala music videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Meer Nash sejak 16 September jam 9 malam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button