Berita

KOLABORASI MANTAP MIA LATEEFA & ISMAIL IZZANI DALAM ‘KAU TAHU’

Puteri pop baharu negara yang sensasi, Mia Lateefa, yang terkenal dengan single kembarnya, “Anima” dan “Anima Bella,” sekali lagi menyemarakkan persada muzik Malaysia dengan mengeluarkan lagu terbarunya yang paling menarik, “Kau Tahu,” yang turut menampilkan penyanyi remaja terkenal tanah air, Ismail Izzani. Lagu itu ditulis oleh mereka berdua bersama komposer terkenal seperti Mingaling, Ezra Kairo dan Amir Hasan, sambil diterbitkan oleh Deep Faith Entertainment.

“Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya sekali lagi saya diberi peluang untuk mempersembahkan sebuah lagi karya istimewa buat pendengar muzik masa kini.

“Saya masih lagi dalam fasa bereksperimentasi dengan muzik dalam pencarian ‘bunyi’ sebenar saya di mana saya akan menghabiskan masa di studio bersama rakan seperjuangan dan guru muzik untuk bertukar-tukar pendapat serta idea, jika bukan itu saya akan lebih fokus terhadap penjagaan fizikal dan juga kesihatan mental,” jelas gadis jelita berdarah kacukan Melayu-New Zealand ini, yang berumur 20 tahun.

Impian Mia untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain akhirnya diperkenankan setelah diidamkannya sekian lama, jelasnya, “Sudah lama saya menunggu peluang sebegini kerana dapat meluaskan portfolio saya sebagai seorang penyanyi serta mencuba sesuatu yang baharu.

“Dan sudah tentunya Mael adalah pilihan saya kerana kami sudah lama mengenali satu sama lain dan sama-sama membesar dan berevolusi dengan muzik. Bagi saya, Mael adalah di antara penyanyi muda terbaik dan berbakat tanah air, jadi it’s a no-brainer kenapa saya memilih dia.

Menurut Ismail pula, “Pada mulanya Mia menghubungi saya menyatakan hasratnya untuk berkolaborasi dalam sebuah single, dan tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju kerana ini adalah idea bernas dan tidak rumit untuk bekerjasama dengannya.

“Saya mula mengenali Mia sejak tahun 2015 lagi dan sudah pun menganggapnya seperti adik sendiri, ketika di usia muda lagi dia mempunyai bakat yang semulajadi. Apa yang boleh saya katakan di sini, Mia seorang yang rajin berusaha dan akan memperuntukkan masa untuk mempelajari sesuatu, contohnya seperti tarian, kalau boleh saya simpulkan di sini, fun dan kelakar, itulah Mia!

Single Kau Tahu merupakan adaptasi dari pengalaman Mia sendiri yang diolah ke dalam lirik, katanya, “Saya jenis orangnya kalau sayangkan seseorang akan curahkan segala perasaan dan cuba berusaha yang terbaik demi individu tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang curahan kasih sayang terhadap kekasih namun ianya tidak dihargai atau hanya dibalas sekadar sahaja.

Lagu ini, yang berdurasi 4:27 minit, menjadi tumpuan keseluruhan karya dan jelas menaikkan irama R&B. Ia mungkin langkah berani di sisi penyanyi muda itu, namun ia mempunyai daya tarikan tersendiri seperti ayat rap yang dibawakan Ismail yang melengkapkan Kau Tahu dan menambah variasi dinamik.

Video muzik (MV) yang dilancarkan serentak memaparkan visual mengasyikan ibarat dalam sebuah dunia khayalan ciptaan Mia, ulasnya, “Saya mahu penonton terpesona dengan ‘rasa’ MV Kau Tahu melalui tarian yang dibawakan saya dan Mael, seakan berada dalam dunia sendiri tanpa menghiraukan apa kata orang luar.

Walaupun personaliti Mia berkait rapat dengan dunia tarian, dan dia memujanya tanpa had, dia menemui tenaga baharu melalui nyanyian, dan laluan artistiknya terasa terang seperti mengembara melalui bintang-bintang galaksi.

“Muzik adalah medium terbaik buat saya untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, saya dapat ceritakan apa yang terpendam dan mempelajari banyak perkara baharu dalam kehidupan dari mereka yang mencorakkan perjalanan seni saya.

“Semoga semua yang mendengar Kau Tahu akan terhibur dan menari bersama rentaknya serta jangan lupa selami maksudnya kerana saya pasti ramai di luar sana pernah mengalami situasi yang sama. Jadikan pengalaman lalu pengajaran buat kita untuk lebih kuat kehadapan.

Lagu “Kau Tahu” boleh dimuat turun daripada iTunes, digunakan sebagai nada dering untuk panggilan ke semua syarikat telekomunikasi tempatan, dan didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman internet termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music . Pada hari yang sama, akaun YouTube Mia Lateefa Keyte akan menjadi hos MV secara eksklusif.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button