Berita

Hulur Sumbangan Ramadhan, McDonald’s Malaysia Serah Zakat Perniagaan RM500,000 Kepada PPZ-MAIWP

Mula membayar zakat perniagaan semenjak lima tahun lepas, tahun ini merupakan jumlah tertinggi McDonald’s perlu membayar zakat perniagaan sejak syarikat itu diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd pada tahun 2017, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Zakat perniagaan berjumlah RM500,000 dibayar kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022. Zakat perniagaan McDonald’s Malaysia diserahkan oleh Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia kepada Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

PPZ-MAIWP telah menyerahkan sekali lagi Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Sijil tersebut akan dipamerkan di 40 buah cawangan restoran McDonald’s di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

McDonald’s juga telah mengadakan Program Ziarah Komuniti Asnaf, dengan menyantuni 50 buah keluarga asnaf di sekitar kawasan Danau Kota, Kuala Lumpur dan menyerahkan sumbangan wakalah agihan dalam bentuk ‘kotak rezeki’ dan duit raya.

Selain membayar zakat, McDonald’s Malaysia juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation untuk terus mendukung komitmen Halal dan melibatkan diri dalam aktiviti Halal dalam semua aspek perniagaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button