BeritaKewanganPelaburan

Harga Emas Hari Ini Untuk Emas Seluruh Malaysia

Logam Kuning 999 916

Harga emas berpotensi pecah rekod tertinggi

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Harga emas pukal memiliki potensi melepasi paras tertinggi dalam sejarah kepada AS$2,200 (RM9,205.77) seauns atau RM324.72 segram tahun ini.

Potensi itu bergantung kepada perkembangan berhubung ketegangan geopolitik Russia-Ukraine, pasaran ekuiti dan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Harga emas melepasi paras AS$2,000 (RM8,368.88) seauns atau RM295.20 segram sebelum menghampiri paras kemuncak AS$2,074.88 (RM8,682.21) atau RM306.26 segram yang dicatatkan pada Ogos 2020 kepada AS$2,056.70 (RM8,606.14) atau RM303.57 pada 8 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor, berkata harga emas tertinggi yang mampu dicapai dalam tempoh terdekat akan banyak bergantung pada perkembangan lain yang berlaku ketika ini.

Katanya, antara pembolehubah yang perlu diperhatikan adalah sejauh mana ketegangan geopolitik Russia-Ukraine berpanjangan dan kesannya pada negara lain yang terbabit.

“Faktor lain adalah perkembangan pasaran ekuiti dan kadar faedah oleh Fed AS. Namun, saya yakin semua faktor di atas menyebelahi harga emas dalam jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi BH.

Mohd Faizal berkata, melihat kepada perkembangan semasa, bekalan emas daripada pengeluar utama di Russia akan merosot disebabkan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas negara itu.

Katanya, Russia memiliki hampir 10 peratus pengeluar emas yang diakreditasi oleh London Bullion Market Association (LBMA), pertubuhan yang mewakili pengawal selia global logam berharga paling berpengaruh di dunia.

“Ditambah pula dengan kadar inflasi di AS ketika ini yang berada pada tahap tertinggi dalam tempoh 40 tahun, saya berpendapat paras AS$2,070 (RM8,661.79) seauns mampu dilepasi pada bila-bila masa.

“Ketika, ini bukan hanya syarikat Russia, bahkan syarikat negara lain yang berurusan dengan syarikat Russia juga ditekan dengan pelbagai sekatan.

“Ketidaktentuan ini sudah tentu memberi tekanan pada pasaran ekuiti. Kesannya, permintaan terhadap kelas aset yang dianggap sebagai aset selamat seperti emas akan melonjak,” katanya.

Beliau menjelaskan, harga emas sentiasa mengalami turun naik dalam jangka pendek, namun untuk jangka masa panjang, ia berkait secara langsung dengan bekalan mata wang dalam sesebuah ekonomi.

“Umum mengetahui hampir semua negara di dunia mengembangkan bekalan mata wang pada setiap masa, sama ada melalui dasar monetari kerajaan atau penciptaan kredit oleh bank komersial.

“Bekalan mata wang yang sentiasa berkembang ini menyebabkan mata wang sedia ada dalam ekonomi mengalami penyusutan nilai secara berterusan. Di sinilah uniknya peranan emas dalam mengimbangi keadaan ini.

— BHarian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button