Berita

EZAD LAZIM x AMSYAR LEEE NYANYIKAN ‘MENGINTAI DARI TIRAI KAMAR’

Dalam duet istimewa dengan pendatang baru Amsyar Leee, lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar,” yang dahulunya popular dan sentiasa segar, kini diberi nafas baru oleh vokalis asalnya Ezad Lazim dan diterbitkan oleh label rekod terkenal di negara ini, Warner Music Malaysia.

“Kalau hendak diikutkan, lagu ini sudah pun menjangkau usia 25 tahun lamanya, namun semenjak diperkenalkan pada tahun 1997, ia masih menjadi permintaan ramai penggemar muzik sehingga hari ini.

“Mungkin masanya kini sesuai untuk pengenalan semula lagu ini khususnya buat generasi sekarang dan peminat terdahulu yang masih merindui karya ini,” kata Ezad Lazim yang merupakan pemenang tempat ketiga pertandingan Gegar Vaganza musim ke-2.

Terbaru, persefahaman harmonik telah diwujudkan hasil kerjasama istimewa antara generasi tua dan muda yang telah dirancang oleh perniagaan rakaman Warner Music Malaysia.

Menurut Ezad lagi, “Sebenarnya pihak Warner yang menyatakan hasrat mereka pada pengurus yang merupakan isteri saya untuk menyanyikan semula lagu ini.

“Banyak tawaran saya terima sebelum ini, bukan setakat Amsyar seorang, bahkan syarikat rakaman lain, artis lain, turut menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi namun rezeki berpihak pada Amsyar kerana saya nampak kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak Warner, dan akhirnya saya bersetuju.

Sebagai pendatang baharu, pemilik nama sebenar Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri berkata, “Apabila diberitahu oleh pihak Warner yang saya akan berduet dengan penyanyi asalnya, abang Ezad, hati ini berdebar kerana yalah seorang penyanyi bertaraf legenda sudi berduet dengan BBNU seperti saya, namun pada masa yang sama saya teruja berpeluang bekerjasama kerana saya anggap ia sebagai sebuah peluang yang tidak patut dipersiakan.

“Mungkin ramai pendengar muzik dari generasi sekarang kurang mengenali lagu ini, tetapi saya percaya lagu ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri apabila dinyanyikan semula dengan nafas yang baharu dan lebih segar.

Bagi menghormati gubahan asal lagu Mengintai Dari Tirai Kamar ciptaan komposer lagenda yang pernah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan, abang Saari Amri, komposer muzik muda dari kumpulan Nastia, Rudy Iskandar bertanggungjawab memberi ubah suai pada karya tersebut.

“Tidak banyak yang diubahkan, masih mengekalkan feel yang lama dengan sentuhan baharu melalui vokal latar yang ditambah bagi mempercantikkan lagi karya ini.

“Dan Amsyar berjaya membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri, bagi saya dia mempunyai tarikan yang tersendiri dan mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi, dan bukan hanya mahir meniru nyanyian artis lain. Jika didengar, tona suara Amsyar ada keunikannya tersendiri,” kongsi Ezad.

Mengintai Dari Tirai Kamar, tajuk lagu itu, menyampaikan idea tentang keinginan yang tidak kesampaian, malah lagu itu sememangnya mempunyai makna yang unik menggunakan bahasa simbolik.

Jelas Ezad, “Menurut pencipta asalnya, abang Saari Amri, lagu ini menceritakan tentang perasaan cinta seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa terhadap wanita yang didambakannya, lelaki tersebut berasa rendah hati, tidak sesuai, tidak layak untuk memiliki wanita tersebut kerana dirinya yang serba-serbi kurang.

Bersama-sama dengan lagu itu, terdapat video muzik (MV) yang menggunakan konsep ringkas namun unik untuk menunjukkan pertembungan dua generasi—yang lama dan yang baharu—di atas pentas sambil sekumpulan pemuzik bermain di latar belakang. Di penghujung MV, beberapa nasihat diberikan.

“Sebagai anak seni yang telah mengharungi industri ini selama lebih dua dekad lamanya, sedikit sebanyak telah membentuk keperibadian saya pada hari ini.

“Apa yang telah saya hasilkan, tempuhi, jalani dan alami banyak mengajar saya dalam kehidupan. Zaman saya naik dan jatuh, zaman gelap saya, apa yang boleh saya perkatakan saya hanyalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.

“Kini, bukanlah kepopularitian yang saya cari, lebih kepada tanggungjawab kepada masyarakat dalam memberi impak yang positif, cuba berikan yang terbaik dan menjadi insan berguna buat semua.

Amsyar yang kini masih menuntut di salah satu universiti terkemuka negara turut berharap, “Saya pinta agar lagu ini diterima ramai dengan nafas baru yang diberikan, saya sebagai BBNU bergabung dengan abang Ezad  dapat memberi kelainan serta memikat hati para pendengar semua.

Tambah Ezad pula, “Saya berharap agar kolaborasi ini mendapat sambutan yang hangat, mungkin ramai yang kurang mengenalinya tetapi dengan adanya Amsyar, boleh meraih peminat baru disamping memeriahkan industri seni kita.

“Tiada yang lama, tiadalah yang baru.

Lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar” boleh dimuat turun di iTunes, di mana ia juga boleh digunakan sebagai nada dering panggilan untuk semua penyedia telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh didengari dan dinikmati pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman dalam talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Manakala saluran YouTube Warner Music Malaysia akan menjadi satu-satunya tempat di mana MV boleh ditayangkan pada tarikh tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button