Berita

ERNIE ZAKRI NYANYIKAN SEMULA ‘HAL HEBAT’ BERSAMA GOVINDA

Paduan Mantap Dua Benua Malaysia-Indonesia Temukan Penyanyi Wanita Popular Tanah Air Dengan Band Spektakuler Dari Seberang

Pertembungan muzik antara dua benua, Malaysia dan Indonesia, telah lama dijalin secara harmoni. Muzik ialah bahasa di seluruh dunia yang sering menyatukan kebanyakan orang di mana sahaja mereka berada. Terbaharu, sebuah lagu berjudul “Hal Hebat” menghimpunkan band “amazing” dari Indonesia, Govinda, dan penyanyi-penulis lagu wanita Malaysia dengan suara jelita, Ernie Zakri.

Hal Hebat, seperti yang diketahui umum, adalah lagu Govinda yang paling popular setakat ini; sejak dikeluarkan kira-kira dua tahun lalu, ia telah mendapat hampir 20 juta tontonan.

“Alhamdulillah, saya telah pun selesai merakamkan semula lagu Hal Hebat bersama-sama kumpulan Govinda dari Indonesia di Jakarta tempoh hari lalu. Ini adalah sebuah kolaborasi istimewa di antara Malaysia dan Indonesia yang jarang-jarang berlaku.

“Idea disebalik ‘pertemuan’ ini datangnya dari pihak Rocketfuel Entertainment dan juga MyMusic Records Indonesia yang mahukan kerjasama muzikal di antara dua benua terjalin,” jelas Ernie.

Walaupun sibuk membantu suaminya, Syamel, penyanyi terkenal itu membesarkan anak sulung mereka, Ernie berkata, “Khawla hampir memasuki usia 5 bulan, Syamel dan saya seronok melihat keletah puteri kami kini yang sudah mula berkomuikasi, dan momen-momen tersebut membuatkan kami tersenyum.

“Jiwa muzik itu memang sebati dalam diri saya, ketika mengandung, dalam tempoh berpantang dan kini membesarkan anak, saya akan tetap menghasilkan muzik dan terus berkarya.

Di negara asalnya Indonesia, lagu Hal Hebat oleh Ade Govinda, yang dikeluarkan pada awal tahun 2020, telah mendapat sambutan yang luar biasa sehingga menjadi viral di Malaysia.

Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Di Indonesia, lagu ini menjadi kegemaran penduduk di sana sehingga hari ini. Manakala di Malaysia pula, lagu ini turut mendapat tempat di hati penggemar muzik.

Kumpulan Govinda dari Seberang.

“Setelah itu, saya mendapat idea untuk menghubungi pihak MyMusic Indonesia dan meminta pendapat mereka, dan setelah berbincang, kami rasakan lagu ini adalah yang terbaik untuk dinyanyikan semula secara duet oleh kedua-dua buah negara.

Di negara asalnya Indonesia, lagu Hal Hebat oleh Ade Govinda, yang dikeluarkan pada awal tahun 2020, telah mendapat sambutan yang luar biasa sehingga menjadi viral di Malaysia.

Menurut Ernie, “Proses rakaman lagu ini mengambil masa selama sehari kerana mengejar jadual kerja yang agak padat. Komposisi dan susunan muziknya turut diberi nafas baharu oleh penciptanya sendiri iaitu Ade sesuai dengan konsep duet yang kami tampilkan, namun masih mengekalkan feel yang sama kerana melodi terdahulu sudah cukup sempurna.

“Selain itu, proses penggambaran video muziknya (MV) turut diadakan di sana dalam waktu yang singkat. Walaupun agak lelah berkejar-kejar ke sana dan ke sini, semuanya sangat berbaloi.

Ketika ditanya bagaimana rasanya bekerja dengan tenaga muzik dari seberang, Ernie menjawab, “Saya belum pernah berkolaborasi dengan mana-mana band sebelum ini tetapi mereka sangat mesra walaupun baharu pertama kali bersua dan chemistry di antara kami terus terjalin memudahkan proses rakaman.

“Govinda adalah sebuah kumpulan muzik yang berpengaruh dengan pengalaman lebih 10 tahun lamanya dalam bidang muzik. Mereka sangat terkenal dan sudah menempa nama di Indonesia.

“Saya rasakan peluang sebegini tidak seharusnya dipersia kerana bukan mudah untuk band besar seperti mereka mahu berduet dengan artis dari Malaysia seperti saya, tambahan pula menyanyikan semula lagu hit mereka.

Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment juga menyatakan bahawa, “Ini adalah usaha Rocketfuel dalam percubaanya menembusi pasaran Indonesia sebagaimana yang telah diwar-warkan ketika malam ulang tahun Rocketfuel yang ke-5.

“Semoga usaha ini menjadi batu loncatan buat Ernie untuk melebarkan sayapnya ke arena muzik Indonesia.

Ernie mempunyai kerjaya seni yang panjang dan berjaya yang menjangkau lebih daripada sepuluh tahun. Kini, dengan fokus dan ketabahan, rakyat Malaysia kelahiran Kuala Lumpur ini bakal memasuki pasaran Indonesia dan mengharumkan nama negara yang dicintainya.

“Saya tidak mahu berada pada satu takuk sahaja, saya juga mahu cuba melebarkan sayap ke negara luar. Namun semua ini tidak akan menjadi tanpa usaha yang berterusan serta doa-doa anda semua, jadi teruskanlah mendoakan perjalan seni saya agar saya dapat membina nama yang dapat membanggakan kita semua.

“Semoga Hal Hebat nyanyian kumpulan Govinda dan saya dapat diterima baik bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia juga, dan teruskanlah menyokong kerjaya saya sampai bila-bila,” akhiri Ernie.

Lagu “Hal Hebat” tersedia untuk dimuat turun di iTunes dan boleh digunakan sebagai nada dering oleh semua penyedia telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh didengari pada bila-bila masa melalui perkhidmatan penstriman dalam talian popular termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala video muzik rasmi untuk single ini hanya tersedia di akaun YouTube Rocketfuel Network.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button