Berita

CASABLANCA TEMUKAN NUHA BAHRIN & NAUFAL AZRIN

Kisah cinta sepasang kekasih yang dikongsikan secara meluas di aplikasi TikTok menjadi inspirasi lagu duet Nuha Bahrin dan Naufal Azrin, CASABLANCA yang menjadi kegilaan bukan sahaja di Malaysia, malah negara jiran, Indonesia.

Dari dua genre berbeza, Nuha dan Naufal disatukan buat pertama kali melalui lagu terbitan Universal Music Malaysia dan Bee Good Media, ciptaan lirik oleh Daqmie dan Abdul Karim Al Ali, produser Amir Hufaz, Khairul, Wan Saleh dan Daqmie ini. Biarpun lagu duet ini adalah kolaborasi pertama mereka, Nuha menyifatkan kerjasama dengan Naufal sangat bagus.

“Proses rakaman lagu alhamdulillah saya dan Naufal sangat faham antara satu sama lain. Jadi semuanya berjalan lancar. Pada saya proses penghasilan lagu ini sangat cepat dan saya rasa sebab pasukan ini sangat membantu.

“Semua orang saling tolong menolong, sokong satu sama lain dan berkongsi idea untuk menjadikan lagu ini lebih baik. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya harap semua orang boleh hargai usaha yang kami berikan untuk lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu yang menampilkan Wan Saleh, Amir Hufaz, Khairul, dan Daqmie selaku penerbit dan pengubah lagu, Nuha berkata lagu CASABLANCA sangat sesuai buat mereka yang ada ‘crush’ atau yang sedang dalam percintaan.

“Pada saya tujuan utama lagu ini adalah untuk pasangan yang suka buat kandungan di TikTok jadi ia boleh dikaitkan dengan lirik lagu ini. Lagu ini mengisahkan dua orang yang sedang bercinta, macam baru mempunyai perasaan antara satu sama lain.

“Ia seperti percintaan sewaktu muda dan sangat teruja dengan cinta pertama mereka. Ia juga macam nak beritahu perasaan sebenar kepada pasangan mereka atau ‘crush’,” katanya.

Ditanya mengenai proses penulisan lagu, Nuha meluahkan rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik yang bagus dan berpengalaman luas.

“Bagi proses penulisan lagu, alhamdulillah kami ada pasukan yang baik, komposer juga bagus iaitu Daqmi dan Wan Salleh. Kami juga dapat bantuan daripada kawan kami dari Syria iaitu Abang Karim dan dia banyak tolong kami dalam memperbetulkan cara sebutan, terutamanya sebutan arab sebab ia perlu teliti. Kalau salah sikit sahaja terus salah maknanya. Kami belajar banyak daripada dia,” katanya.

Bagi Naufal, merakamkan lagu dan video muzik CASABLANCA adalah pengalaman yang cukup berharga buat diri dan kerjayanya.

“Rakaman lagu ini ambil masa selama satu hari sahaja. Lagu ini juga kami ada lirik dalam bahasa Arab dan Melayu. Untuk bahasa Arab kami diberi tunjuk ajar oleh Abdul Karim, dia yang ajar kami supaya ia sedap didengari oleh orang. Kalau tak memang susah nak bawa, tapi bila dia ada ia menjadi senang. Abdul Karim ini juga boleh berbahasa Melayu, jadi ia memudahkan proses rakaman lagu ini.

“Bagi proses rakaman MV pula, saya rasa seronok dan teruja sebab kita ada ‘otai’ seperti abang Akid, Kak Za dan Minur Rashid. Individu lain yang terbabit kita ada Be Positive, Beegood Music jadi disebabkan mereka yang terbabit inilah MV CASABLANCA ini menjadi mudah dan teratur. Kami juga baru berjinak-jinak dalam industri muzik ini senang faham dengan konsep yang mereka nak bawa,” katanya.

Selepas beberapa bulan dilancarkan, CASABLANCA terus ‘viral’ dan berjaya menduduki tangga pertama carta-carta platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music di dalam negara mahupun di negara jiran. Manakala muzik video rasmi pula meraih lebih 23 juta tontonan setakat hari ini.

Lagu ini juga berhasil untuk membawa pasangan duet ini ke kota Jakarta, Indonesia, apabila mereka menerima jemputan untuk ditemu ramah oleh stesen-stesen TV dan radio yang terkemuka di negara tersebut. Lagu CASABLANCA ini juga bakal diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris dan juga Arab dalam masa terdekat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button