Berita

BAHANG KEMUNCAK MALAM ANUGERAH IKON SUKAN HARIAN METRO SEMAKIN TERASA

Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) semakin hangat apabila hos, Harian Metro, mendedahkan calon-calon bagi lapan kategori utama yang akan diadili secara berasingan bagi menentukan siapa yang akan memenangi Anugerah Ikon Sukan Terbaik secara keseluruhan.

Pemenang bagi setiap kategori dan anugerah utama akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada jam 8.30 malam, Ahad, 8 Januari 2023. Manakala, acara karpet merah akan disiarkan secara langsung pada jam 7.50 malam. Lokasi untuk malam kemuncak AIS HM ini akan diumumkan kelak.

Proses undian peringkat kedua bagi finalis setiap kategori telahpun bermula pada 1 Disember lalu dan akan berakhir pada 25 Disember ini. Undian boleh dibuat menerusi pembelian akhbar Harian Metro dan di laman web AIS HM www.hmetro.com.my/ais. Penilaian untuk pemenang akan berdasarkan 50 peratus undian melalui akhbar Harian Metro dan atas talian, dan 50 peratus lagi penilaian daripada juri professional.

Proses undian peringkat pertama sudahpun dijalankan pada 30 Oktober sehingga 20 November lalu, yang mana penilaian adalah berdasarkan 100 peratus undian peminat dan pembaca.

Satu majlis pengumuman pra-kemuncak AIS HM telah diadakan di Le Meridien Hotel Petaling Jaya, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Presiden, Majlis Olimpik Malaysia merangkap Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria. Hadir bersama ialah Pengarang Kumpulan, Harian Metro merangkap Pengerusi AIS HM, Husain Jahit; dan Pengarang Berita Kanan (Sukan/Hiburan) Harian Metro merangkap Pengarah Projek AIS HM, Abdul Manan Samad; Ketua Pegawai Operasi, TV9, Sherina Mohamed Nordin; dan Ketua Pegawai Operasi (Solusi Komersil), Media Prima Omnia, Zanny Liu.

Turut hadir ialah Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas dan Timbalan Pengarah III (Program Pemasaran dan Pembangunan), UKMShape, Jamalul Lail Abdul Wahab.

Gardenia Breakthru merupakan Penaja Utama AIS manakala UKMShape adalah Rakan Penaja AIS dan TV9 adalah Penyiar Rasmi AIS.

Pada majlis tersebut, pengacara dan pelakon, Fahrin Ahmad serta pengacara, pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim diumumkan sebagai hos utama pada malam kemuncak AIS HM.

Manakala bagi segmen karpet merah yang bakal disiarkan di saluran TV9, gandingan pengacara program bual pagi popular, Malaysia Hari ini di TV3, Hanif Miswan dan pembaca berita popular TV3, Marsila Hassan bakal menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara berlangsung.

Barisan artis yang akan membuat persembahan melibatkan artis yang layak bergelar lagenda dan berbakat besar selain bakat baharu yang sedang meningkat. Pentas AIS HM bakal dihangatkan dengan persembahan Datuk M. Nasir, Aina Abdul, kumpulan penyanyi Wanita- Dolla, penyanyi dan juga atlet bola jarring kebangsaan- Fariha Razak, Hariz Fahayet, Bunga Isme, pelawak- Ropie, Salman dan Atu Zero serta Noorkhiriah.

Husain Jahit menjelaskan bahawa acara AIS ini merupakan acara anugerah yang julung kalinya dianjurkan oleh Harian Metro untuk memberi pengiktirafan kepada atlet normal dan para serta penggiat-penggiat industry sukan termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan juga antarabangsa.

Barisan penyampai anugerah terdiri daripada gandingan atlet bersama artis dan selebriti yang memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang yang diceburi. Ini termasuklah Nadhir Nasar, Siti Khadijah Halim, Merqeen, Intan Serah dan Nur Dhabitah Sabri.

Malam kemuncak AIS HM bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori.

Lapan kategori utama iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

AIS HM turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada bekas atlet sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan melalui kategori khas, Anugerah Ikon Sukan Lagenda. Penerima anugerah ini bakal diumumkan pada malam kemuncak nanti. Pemilik anugerah ini akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Pemenang bagi setiap lapan kategori yang dipertandingkan akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun. Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Harian Metro turut berbesar hati memberi hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro. Beliau akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button