Berita

Anuar Zain dan Ziana Zain Berkolaborasi Dalam Konsert Ogos Depan

Gandingan dua penyanyi terkenal tanah air dalam sebuah konsert berskala besar akan menjadi sejarah dalam industri seni tanah air khususnya buat para penggemar muzik.  Penyanyi tersebut merupakan pasangan adik-beradik iaitu Anuar Zain dan Ziana Zain.

Buat julung kalinya, Trumpet International Sdn. Bhd. dengan bangganya menganjurkan Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022 pada 06 Ogos 2022 bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022 akan berlangsung berdurasi selama 90 minit dengan lantunan lagu-lagu malar segar dan popular yang telah menjulang Anuar Zain dan Ziana Zain dalam persada seni tempatan.

Peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh Trumpet International Sdn. Bhd. adalah satu penghormatan buat mereka berdua walaupun umum mengetahui gandingan mereka pada kali ini bukanlah buat pertama kali dalam konsert berskala besar.

“Bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami.  Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.  Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini” ujar Anuar Zain.

Pelantun Sedetik Lebih dijangka bakal memberi persembahan yang akan menjadi sebuah ‘mimpi indah’ buat penonton yang hadir memeriahkan suasana konsert dengan menampilkan sebuah kolaborasi epik bersama Ziana Zain dalam konsert tersebut.  Bagi Ziana sendiri, Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022 adalah sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka selaku seni industri tanah air.

“Konsert ini akan menjadi ‘golden moment’ bukan sahaja buat peminat tetapi kami dua beradik.  Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn. Bhd. yang berani mengetengahkan Anuar Zain dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat bermula” kata pelantun Madah Berhelah tersebut.

Penganjuran dan kerjasama julung kali Trumpet International Sdn. Bhd. bersama idola ramai Anuar Zain dan Ziana Zain melahirkan rasa bertuah bagi Koo Kien Keat yang merupakan bekas pemain Badminton negara juga turut selaku jurucakap penganjur.

Rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan adik-beradik tersebut kini terubat melalui penganjuran Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 setelah pelbagai aktiviti seni termasuk konsert bagai ‘terhenti’ kerana pandemik yang melanda seluruh negara.

Tiket-tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 sudah mula dijual bermula 19 Mei 2022 pada harga bermula RM 288, RM 588, RM 788, RM 988 dan RM 1188 melalui laman www.excitix.com.my. namun tiket berharga RM 1188 sudah habis dijual.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button