Berita

ALVIN CHONG KEMBALI MELUAHKAN PERASAAN DENGAN ‘ONE AND ONLY’

Semua orang sukakan pelakon dan penyanyi yang menarik Alvin Chong. Ketika mula-mula menceburi industri hiburan Melayu, namanya sudah dikenali ramai pengikut setia persada seni tempatan.

Setelah lama tidak muncul dengan buah tangan baharu untuk para peminat setianya, Alvin Chong kini kembali dengan sebuah lagi karya menarik berjudul ‘One And Only’

Lagu yang diilhamkan dari kisah peribadi Alvin sendiri ini mempunyai makna yang besar buat dirinya.

“Ia menggambarkan perasaan saya beberapa tahun yang lalu. Lebih tepat sewaktu pandemic Covid-19. Tika itu, saya banyak menghabiskan waktu di dalam kereta bersendirian. Ini kerana sebaik sahaja saya keluar dari kereta saya rasa seperti ada beban. Ada tekanan dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sebagai seorang anak, artis, abang dan juga kawan.

Saya rasa seolah-olah berada di dalam kereta adalah satu-satunya tempat yang saya anggap zon selamat dan selesa buat diri sendiri. Malah pada saat itu, walaupun sudah penat bekerja seharian saya mengalami masalah untuk tidur,” jelas Alvin tentang karya terbaharu ini.

Namun, Alvin yakin semua orang pasti pernah melalui situasi seperti ini sehingga rasa sangat sulit untuk meneruskan kehidupan.

“Tetapi saya percaya selepas hujan pasti ada pelangi, sesudah malam yang gelap tentu ada pagi yang terang. Seusai detik-detik hitam pasti ada saat indah yang menjelma,” kata Alvin lagi.

Lagu yang ditulis bersama kumpulan komposer terkenal MFMF ini mengambil masa dua hari untuk dizahirkan.

“Kami mulanya berborak panjang sekitar dua jam untuk mendapatkan idea utama lagu ini. Setelah menjelaskan ia berkisar perasaan saya, kami kemudian memikirkan lirik dan bunyi yang sesuai. Sungguhpun ia bernuansa sedih dan sendu saya tidak mahu ia menjadi balada suram. Saya mahu ia menjadi lagu yang lebih rancak biarpun lirik sedikit bertentangan.

MFMF setuju dengan idea itu dan berjaya memberikan apa yang saya mahu. Ia mudah untuk dinikmati dan boleh didengar secara santai,” ujar Alvin tentang karya ini

Lebih menarik, proses rakaman lagu ini berjalan dengan sangat mudah.

“Sewaktu hendak merakam lagu ini, saya diberitahu kami perlu merakamkan vokal terdahulu untuk demo sahaja. Biasanya demo akan diserahkan kepada pihak syarikat rakaman untuk mendapat kelulusan dan kemudian barulah kita rakam lagu yang sebenar.

Walau bagaimanapun pihak MFMF memberitahu kami tidak perlu merakam semula kerana vokal yang sudah dimasukkan sewaktu nyanyian demo rupa-rupanya sudah cukup bagus. Saya terkejut namun sangat gembira. Malah menurut para penerbit, ramai penyanyi kedengaran lebih tenang dan semula jadi sewaktu merakam demo berbanding sewaktu rakaman sebenar.

Ini kerana mereka rasa tiada tekanan sewaktu merakam demo sahaja. Itulah yang terjadi pada saya kerana saya memang sedikit gementar saat rakaman sebenar,” seloroh Alvin tentang proses rakaman lagu.

Alvin turut menyatakan bahawa dia sangat gembira bekerjasama dengan MFMF.

“Mudah bekerja dengan mereka. Mereka dengar pendapat saya dan memahami kehendak saya sebagai artis.

Saya pernah bekerja dengan penerbit serta komposer yang lebih senior dan lama dalam industri. Mereka ini biasanya kurang mahu mendengar pendapat artis baharu kerana rasa mereka lebih tahu apa yang sesuai untuk kami.

Oleh kerana itu saya senang bekerja dengan MFMF kerana mereka lebih terbuka dengan cadangan dan idea saya,” bingkasnya lagi.

Lagu ini juga menampilkan sebuah video muzik menarik yang menjalani penggambaran di Klang.

“Pada mulanya, video muzik ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Namun dua minggu kemudian kami mengambil keputusan untuk menambah satu lagi babak dengan kumpulan kugiran yang memainkan muzik iringan.

Ini untuk mengingatkan para peminat saya bahawa saya bukan sahaja seorang pelakon tapi sebenarnya bermula sebagai penyanyi juga,” tambah Alvin lagi.

“Namun ada beberapa cabaran untuk menghasilkan video ini. Yang pertama, cuaca yang sangat panas ditambah dengan aneka lapisan pakaian yang perlu saya kenakan pada hari tersebut. Kedua, kami terpaksa tunggu saat jalanan kosong tanpa kereta untuk mendapat tangkapan terbaik,” ujarnya.

Saat ditanya apakah harapan Alvin untuk lagu ini, dia memberikan jawapan yang sangat mudah namun berkesan.

“Saya harap sesiapa yang mendengar lagu ini akan terus percaya bahawa sentiasa ada harapan dalam kehidupan. Janganlah putus asa kerena proses pendewasaan memang tidak mudah. Semuanya mampu diselesaikan kerana Tuhan tidak akan membebani seseorang dengan sesuatu yang tidak dapat diatasi. Terus yakin dan percaya sambil memberikan yang terbaik dalam hidup seharian. Jangan sesekali berputus asa!” kata Alvin menutup bicara.

Single ONE & ONLY boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music  yang telah pun keluar pada 25 Novmber jam 12 tengah malam bersama dengan music videonya boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button